Assalamualaikum
Disini saya terpanggil untuk berbagi cerita tentang murah rezeki bila bela kucing. Ini dari pengalaman saya sendiri. Kalau saya saja yang rasa seperti ini, tak tahulah.
Saya perasan perkara ini sudah lama. Saya memang jenis yang suka kutip kucing di tepi jalan, di kedai makan dibawa pulang ke rumah dan beri makan.
Saya tak pernah beli kucing-kucing mahal sebab tak mampu. Boleh dikatakan pada satu masa, bilangan kucing yang saya kutip boleh mencecah 29 ekor. Tetapi di rumahlah, di asrama tak ada pula saya nak bela sampai berpuluh-puluh ekor.
Nak dijadikan cerita, semasa zaman belajar, saya ada mengutip seekor kucing ini dan bela di dalam bilik. Kasihan si comel itu, kepalanya tersangkut di celah tayar basikal. Entah macam mana boleh tersangkut pun saya tak pasti.
Jadi, saya selamatkan dan bela dia. Momo, nama diberi. Masa belajar biasalah elaun kadang-kadang datang lambat. Nak minta duit dari mak dan ayah selalu pun rasa segan pula.
Duit pula banyak digunakan untuk membeli bahan bacaan dan untuk mengajar, praktikal dan sebagainya memandangkan saya belajar di sebuah maktab.
Tetapi, walaupun kadang-kadang duit saya selalu short, perut saya tidak pernah kosong. Setiap hari macam ada saja rezeki untuk saya.
Ada kawan-kawan yang belanja makanlah, lecturer buat potluck lah, jamuan itu inilah, ada makcik sedekah buburlah, kawan tiba-tiba buat birthday party dan macam-macam lagi. Semua dalam bentuk makanan.
Kadang-kadang saya pernah sampai tahap risau sebab tak ada duit nak bagi si Momo ini makan. Tambahan pula makanan kucing agak mahal harganya.
Jadi, biasanya saya akan belikan nasi dan kongsi saja dengan Momo. Dia bukannya makan banyak pun.
Masa itu saya tak sedar sangat. Tetapi bila sampai satu masa, ada seminggu berturut-turut saya dapat makanan free. Kawan saya pun tiba-tiba kata,
“Mungkin sebab Momo kot? Kau dah selamatkan dia, selalu beri dia makan, jadi dia selalu mendoakan kau,”
Kata-kata itu membuatkan saya terkedu. Boleh jadi, boleh jadi rezeki saya dimurahkan sebab saya bersedekah pada haiwan kesayangan nabi. Tak kisahlah rezeki dalam bentuk makanan pun, yang penting saya tak kebuluran.
Sedekah bukan dalam bentuk duit sahaja kawan-kawan. Sedekah dalam bentuk makanan pun boleh. Tak semestinya kena beri pada manusia, sedekah untuk haiwan pun boleh juga. Murah rezeki kita nanti.
Ini pun saya tengah kutip seekor lagi kucing tepi jalan. Kaki dia tempat kena gigit. Doakan Jojo cepat sembuh, manalah tahu Jojo doakan saya cepat dapat jodoh pula.